Assalamualaikum,
Harini topik kita serius sikit ye. Moga-moga dapat membantu mereka yang sedang berputus asa mahupun insan2 yang ingin membantu individu yang sedang berputus asa.
Secara fitrahnya, individu yang
berputus asa akan meluahkan dukacitanya itu kepada orang yang paling dekat
dengan hatinya sama ada ahli keluarga mahupun sahabat karib. Namun, nasihat yang
seringkali kita dengar (mahupun diberikan) kepada individu tersebut adalah :
Sabarlah,
ada hikmah di sebaliknya. Itu semua ketentuan-Nya.
Allah
itu Maha Adil. Dia uji sebab dia sayangkan kau. Sabarlah.
Kuatkan
hati kau, bila kau bersabar Allah akan membalas semua itu dengan berita
gembira.
Masih relevankah memberi nasihat
dengan menyuruh mereka bersabar? Bukan mencabar ketentuan takdir atau mahu
membuktikan bahawa sabar itu tidak perlu. Tapi, sedarkah kita bahawa mereka
memerlukan sokongan kita, mereka berkongsi rasa dengan harapan kita mampu mengurangkan
beban jiwa mereka?
Ya, mereka tahu mereka perlu
bersabar, mereka tahu mereka perlu menerima takdir, tetapi hati mereka belum
cukup kuat untuk semua itu. Cik Hani pernah berada di dalam dua-dua situasi ini,
memberi nasihat kepada orang yang berputus asa dan menjadi orang yang berputus
asa. Situasinya sangat berbeza.
Menjadi pemberi nasihat kadang
kala membuatkan diri kita memandang rendah kepada orang berputus asa kerana
mereka seolah-olah tidak mahu menerima takdir. Menjadi orang yang berputus asa pula
adalah sangat mendukacitakan bilamana kita menyedari bahawa hidup itu tidak
semudah yang diperkatakan dan orang disekeliling kita hanya pandai
berkata-kata.
Selepas menjadi orang yang
berputus asa, Cik Hani sedar bahawa orang-orang yang berputus asa memerlukan
sokongan lebih dari sekadar menasihatkan mereka untuk bersabar.
Hanya individu yang melalui
situasi itu yang mengerti situasi sebenar mengapa mereka sukar untuk melangkah
pergi atau menjadi kuat dalam tempoh terdekat. Berkongsi duka belum mampu
menjelaskan situasi mahupun punca sebenar. Hanya individu tersebut yang mampu
mengubah dukacitanya itu kepada kekuatan hati.
Kita seharusnya tidak hanya menggalakkan
mereka untuk bersabar tetapi kita harus menyatakan bahawa betapa teringinnya
kita untuk melihat mereka gembira dan bahagia serta meninggalkan tompok
dukacita itu. Hanya dengan keinginan mereka sendiri, mereka mampu bangkit dari
putus asa itu.
Berikan mereka masa untuk
menyendiri. Jangan terlalu memaksa mereka untuk bersabar dan menerima takdir.
Ingatkanlah seperti mana Allah yang selalu ada untuk hamba-Nya, kita juga
berusaha untuk sentiasa berada di sisi mereka. Mungkin kita tidak memahami
situasi mahupun perasaan sebenar mereka yang sedang berputus asa, namun kita
akan berusaha sebaik mungkin untuk memahami keadaan mereka.
Bertabahlah
wahai hati-hati yang sedang berdukacita.
Kuatkan
pasakmu wahai hati-hati yang sedang berputus asa.
No comments:
Post a Comment